Dhuha menurut ahli fekah adalah waktu di antara
ketika matahari mulai naik sehingga ketika matahari mulai condong. Oleh itu
solat Dhuha adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu
tersebut.
- HUKUM SOLAT DHUHA
Pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat Dhuha adalah
seperti berikut:
1. Sunat secara mutlak
dan dikerjakan setiap hari
2. Sunat namun tidak
didirikan setiap hari secara berterusan.
3. Tidak disunatkan.
4. Ianya disunatkan
kerana faktor tertentu seperti bagi mereka yang tertinggal mengerjakan solat Qiyam
al-Lail maka digantikan solat tersebut dengan mengerjakan solat pada
waktu dhuha.
Pendapat yang paling tepat serta dipegang oleh jumhur ulamak
adalah solat Dhuha termasuk amal sunatmu’akkadah dan
dianjurkan untuk diamalkan secara rutin. Ini adalah kerana Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallamselalu mengerjakannya, menganjurkan para sahabat untuk
mengerjakannya malah baginda pernah mewasiatkan perlaksanaannya kepada beberapa
sahabat. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, dia berkata:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ
صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ
وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَام.َ
Maksudnya:
Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam telah
mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan
sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan
dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur –
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Shaum, no:
1981.
Walaupun wasiat ini ditujukan kepada seorang sahabat tetapi
anjuran tersebut merangkumi untuk seluruh umat Nabi Muhammad shallallahu
‘alaihi wasallam kecuali sekiranya terdapat lafaz yang menunjukkan
ianya sememangnya khusus untuk sahabat tersebut. Ternyata lafaz tersebut
berbentuk umum apatah lagi baginda juga pernah mewasiatkan perkara yang sama
kepada Abu Darda’radhiallahu’ anh, dia berkata:
أَوْصَانِي حَبِيبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ لَنْ أَدَعَهُنَّ مَا عِشْتُ
بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ
وَصَلاَةِ الضُّحَى وَبِأَنْ لاَ أَنَامَ حَتَّى أُوتِرَ.
Maksudnya:
Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam pernah
mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan
sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan
solat Dhuha dan tidak tidur sebelum mengerjakan solat Witir. –
Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, KitabSholaatul
Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 722.
- KEUTAMAAN MENGERJAKAN SOLAT DHUHA
- Ianya Amalan Berbentuk Sedekah
Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu
mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada AllahSubhanahu wa
Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat
menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr radhiallahu’ anh,
daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ
صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ
وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ
تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ
صَدَقَةٌ
وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ
يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.
Maksudnya:
Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang
di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih
(Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah,
setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu
Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah
kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat
Dhuha. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya,
Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 720.
2. Allah Memberi Rezeki Yang Cukup Sepanjang
Siang Hari
Bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha Allah Subhanahu
wa Ta’ala sentiasa mencukupkan segala keperluan seseorang sepanjang
siang hari. Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar
Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam bersabda Allah Azza
Wa Jalla berfirman:
يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ
رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ.
Maksudnya:
Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal
untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha),
nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. -
Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no:
1097.
3. Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji
Dan Umrah
Bagi mereka yang mengerjakan solat Subuh secara berjemaah
lalu tetap berada dalam masjid dengan berzikir kepada Allah dan mengerjakan
solat Dhuha pada awal terbitnya matahari maka dia mendapat
pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Daripada Anas radhiallahu’
anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ
قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ
حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ
تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.
Maksudnya:
Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah
lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah
sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka
dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas),
Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. –
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah,no:
535.
4. Ia Solat Bagi Orang Yang Bertaubat
Solat Dhuha adalah termasuk bagi solat
untuk orang-orang yang bertaubat (Sholat Awwabin). Daripada
Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar
menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha.
Baginda lalu bersabda:
صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ
الْفِصَالُ.
Maksudnya:
Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada
saat teriknya matahari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya,
Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 748.
- TATACARA PERLAKSANAAN SOLAT DHUHA
1. Waktu Mengerjakan Solat Dhuha
Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah
sewaktu matahari mulai naik iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang
diharamkan solat setelah solat Subuh (12 minit setelah matahari terbit atau
untuk lebih berhati-hati laksanakannya setelah 15 minit) sehingga sebelum
matahari condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk
waktu Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit).
Menurut Syaikh al-‘Utsaimin di dalam Asy-Syarhul Mumti’:
Jika demikian, waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari
waktu larangan solat pada awal siang hari (pagi hari) sampai adanya larangan
saat tengah hari.
Namun demikian waktu yang afdal adalah pada saat matahari
panas terik. Demikian adalah dalil-dalil tentang waktu mengerjakan solat Dhuha:
Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ
قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ
حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ
تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.
Maksudnya:
Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah
lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah
sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat…–
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no:
535.
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ
الْفِصَالُ.
Maksudnya:
Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada
saat teriknya matahari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya,
Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruha, no: 748.
2. Jumlah Rakaat Solat Dhuha
Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimal
adalah dua rakaat dan ia boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat yang
tertentu. Sebelum ini penulis telah memaparkan hadis-hadis berkaitan solat Dhuha yang
dilaksanakan dengan dua dan empat rakaat. Berikut adalah dalil yang menunjukkan
ianya juga boleh dikerjakan dengan sebanyak enam, lapan dan dua belas rakaat.
Daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh bahawasanya
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak enam
rakaat – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam kitab al-Syamaail, Bab
Sholat al-Dhuha, no: 273.
أُمِّ هَانِئٍ فَإِنَّهَا قَالَتْ إِنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ
مَكَّةَ
فَاغْتَسَلَ وَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ.
Maksudnya:
Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan
kota Makkah, dia bertemu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda
berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam beranjak menuju tempat mandinya lalu Fathimah memasang tabir untuk
baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada
baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat –
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-Tahajjud, no: 1176.
Di dalam Fathul Baari al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah telah
membawa sebuah riwayat seperti dibawah:
وَعِنْد اَلطَّبَرَانِيّ مِنْ حَدِيثِ أَبِي
اَلدَّرْدَاءِ مَرْفُوعًا مَنْ صَلَّى اَلضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ
اَلْغَافِلِينَ ,
وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعًا كُتِبَ مِنْ
اَلتَّائِبِينَ , وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ اَلْيَوْمَ ,
وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِيًا كُتِبَ مِنْ
اَلْعَابِدِينَ , وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَيْ عَشْرَة بَنَى اَللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي
اَلْجَنَّةِ
Maksudnya:
Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadis Abu Darda’
secara marfu’ disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak
ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka
ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam
rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan
rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha
dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. –
rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah
hadis Shahih al-Bukhari no: 1176. Namun status hadis ini
diperselisihkan olah para ulamak hadis. Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat
dalam sanad hadis ini telah didha’ifkan oleh Ibnu al-Madini namun
dinilaitsiqah pula oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Al-Hafidz
sendiri berkata sanad hadis ini lemah namun diperkuatkan oleh hadis Abu Dzar
yang diriwayatkan oleh al-Bazzar hanya sahaja sanadnya juga lemah dan apa yang
lebih tepat hadis inidha’if. Wallahu’alam.
Berkaitan dengan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat solat Dhuha ini
tidak ada batasan yang tertentu adalah:
مُعَاذَةُ أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهَا:
كَمْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي صَلاَةَ الضُّحَى؟
قَالَتْ: أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا
شَاءَ.
Maksudnya:
Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada
‘Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan
solat Dhuha?
Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya
lagi menurut yang dia kehendaki. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab
Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 719.
3. Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Dhuha
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati
untuk mengerjakan solat Dhuha
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah
al-Fatihah
5) Membaca Surah
al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat
pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan
dan ke kiri