Wednesday, March 27, 2013

Kisah Imam Al-Syafie



Kelahiran Imam Al-Syafie

Pengasas Madzhab Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 150 H, pada tahun yang sama dengan kewafatan ulama besar yang hebat iaitu Imam Abu Hanifah (pengasas Madzhab Hanafi). Sampai sebahagian orang mengatakan, "seorang imam telah meninggal dunia dan lahir pula seorang imam yang lain".
Menurut Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam, Imam Al-Syafie dilahirkan di Gaza, Palestin. Desa Gaza ini berdekatan dengan sebuah kota yang dikenali sebagai 'Asqalan. Dan kebanyakan kabilah yang tinggal berhampiran dengan tempat lahir Imam Al-Syafie ini adalah orang-orang Yaman. Pendapat ini turut dibentangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah. Seorang pengkaji sejarah, Al-Himawi, berkata, "Pentakwilan ini bagus sekiranya riwayat-riwayat tersebut Sahih."

Nasab Imam Al-Syafie

Menurut pendapat yang tepat, Imam Al-Syafie berketurunan Quraisy dari jalur keturunan bapanya. Nama lengkap Imam Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Al-'Abbas bin Usman bin Syafi'i bin Al-Sa'ib bin 'Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutallib bin Abd Manaf. Nasab Imam Al-Syafie bertemu dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pada Abd Manaf.
Adapun ibu Imam Al-Syafie berasal dari keturunan Al-Azd. Ini adalah berdasarkan riwayat yang sahih kerana Imam Al-Syafie pernah berkata, "Ibuku berasal dari suku Azdi. Nama kunyahnya ialah Habibah Al-Azdiyah." Tetapi, nama lengkap ibunya tidak dapat diketahui dengan pasti. Apa pun, ibu Imam Al-Syafie seorang yang cergas dan pandai mendidik, memang wajar jika sifat ibunya ini dijadikan tauladan.

Kembara Pertama Imam Al-Syafie

Buat kali pertamanya, Imam Al-Syafie telah dibawa oleh ibunya melakukan perjalanan dari Palestin ke Mekah ketika Imam Al-Syafie berusia 2 tahun. Dan perjalanan kedua Imam Al-Syafie ke Mekah adalah pada usia Imam Al-Syafie 10 tahun. Beginilah sebagaimana yang diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah.
Tujuan Imam Al-Syafie dibawa ke Mekah adalah untuk mendekatkan dirinya dengan nasab keluarganya. Al-Khatib menulis di dalam kitabnya, Tarikh Baghdad, bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Saya dilahirkan di Yaman (berdekatan dengan kabilah Yaman), kemudian ibu saya bimbang nasab saya. Kata ibu saya: Kamu mesti berada di daerah asalmu, sehingga kamu jadi seperti mereka. Ibuku bimbang nasabku akan hilang. Kemudian ibu mempersiapkan diri untuk menuju kota Mekah. Saya tiba di kota Mekah, dan waktu itu usia saya baru 10 tahun. Lalu, ibu mula mengarahkan saya supaya mencintai ilmu pengetahuan.”  

Imam Al-Syafie Hafaz Al-Qur’an

Kehidupan Imam Al-Syafie ketika kecil sangat miskin. Ditambah pula dengan keadaannya yang yatim, sehingga ibu beliau tidak mampu untuk membayar yuran pengajiannya. Namun, kecerdasan hafalan Imam Al-Syafie telah menarik perhatian gurunya dan membuat gurunya itu senang hati.
Imam Al-Syafie telah menghafal Al-Qur’an sejak usia 7 tahun. Guru mengaji Imam Al-Syafie pada ketika itu ialah Ismail bin Qisthantin. Dan gurunya ini adalah merupakan seorang Syeikh di kota Mekah pada zamannya.
Kata Imam Al-Syafie, “Aku mengaji Al-Qur’an dengan Ismail bin Qisthantin, sedang guruku mengaji dengan Syibl bin ‘Ibad dan Makruf bin Misykan, kedua mereka mengaji dengan Yahya bin Abdullah bin Katsir, ia pula mengaji dengan Mujahid, Mujahid mengaji dengan Ibnu ‘Abbas, Ibnu ‘Abbas mengaji dengan Ubay bin Kaab dan Ubay bin Kaab mengaji langsung dengan Rasulullah SAW.” Demikian salasilah pengajian Al-Qur’an Imam Al-Syafie yang mutawatir sehingga ke Rasulullah SAW.
Hubungan Imam Al-Syafie dengan Al-Qur’an memang sangat rapat. Hal ini berterusan sepanjang hidup beliau. Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya Al-Tibyan fi Adaabi Hamalah Al-Qur’an, berkata, “Di antara mereka yang mengkhatamkan Al-Qur’an sekali dalam sehari semalam ialah Usman bin Affan RA, Tamim Al-Daariy, Said bin Jubair, Mujahid, Al-Syafie dan lain-lain.” 

Imam Al-Syafie Mendalami Bahasa Arab

Imam Al-Syafie sedar bahawa mustahil seseorang itu dapat memahami makna-makna Al-Qur'an, hukum-hakam dan khazanah rahsianya tanpa menguasai bahasa Arab dengan baik. Ini kerana Al-Qur'an diturunkan dengan bahasa Arab yang fasih.
Kata Imam Al-Syafie, "Saya meninggalkan kota Mekah dan tinggal di pedalaman Arab Badwi bersama suku Hudzail. Saya mempelajari adat istiadat mereka. Ini kerana Hudzail adalah suku yang paling fasih berbahasa Arab. Ketika kembali ke Mekah, saya sering membuat syair, menceritakan kisah-kisah sastera dan menghuraikan riwayat-riwayat yang saya perolehi". 
Imam Al-Syafie melanjutkan ceritanya tentang suku Hudzail, "Suku Hudzail itu seperti jin dari kalangan manusia. Mereka mampu melihat kesalahan bahasa Arab yang orang lain menganggapnya sudah benar."

Kemampuan Imam Al-Syafie dalam bidang bahasa dan kesusasteraan arab memang diakui oleh para ulama.   Al-Ashma'i, seorang yang terkenal dalam dunia kesusasteraan arab, berkata, "Saya telah mendapat pembetulan  tentang syair-syair Hudzail dari seorang pemuda Quraisy yang bernama Muhammad bin Idris (Al-Syafie)."
Prof. Abdul Halim Al-Jundi pernah mengkaji dan menjelaskan mengenai gaya bahasa yang sering digunakan oleh Imam Al-Syafie di dalam kitabnya, Al-Imam Al-Syafie, iaitu:
                (1) Kefasihan bahasanya.
                (2) Kata-kata yang ringkas.
                (3) Menyentuh perasaan pembaca.
______________________________________________________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.

Sumber: http://mazhab-alsyafie.blogspot.com

No comments:

Post a Comment